"MATI ITU PASTI"
Sesungguhnya kehidupan di dunia ini merupakan jambatan untuk
kita menuju ke negeri akhirat iaitu suatu penghidupan yang kekal abadi. Maka
sudah tentu setiap diri kita akan menemui ajal. Dalam keghairahan kita melayari
kehidupan ini, mencari harta, mencari rezeki untuk hidup, mengurus hal ehwal
keluarga, anak-anak, hal ehwal pekerjaan dan apa jua hal-hal keduniaan
kadang-kadang membuatkan kita lalai dan lupa dari mengingat mati. Fenomena ini
memang tidak dapat dinafikan lagi sering terjadi kepada sebahagian orang,
walaupun usia semakin meningkat, keadaan fizikalnya semakin lemah namun
kepentingan dunia tetap menjadi prioriti teratas. Rasulullah Shallallahu
'alaihi wasallam pernah menjelaskan fenomena ini melalui sabda Baginda yang
maksudnya :
“Manusia itu lemah tetapi kuat terhadap dua perkara
iaitu: tamak kepada harta dan tamak kepada umur.”(Hadits riwayat
Muslim dan At-Tirmizi)
Hukum Mengingat Mati
Walhal mengingat mati itu juga sebahagian daripada tuntutan
syara’, di mana setiap individu disunatkan mengingat mati pada setiap ketika.
Ini jelas sebagaimana diterangkan di dalam hadits Nabi Shallallahu 'alaihi
wasallam yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud beliau berkata yang
maksudnya :
“Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam: “Malulah
kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya.”
Di dalam riwayat yang lain daripada Abu Hurairah Radhiallahu
‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
“Banyakkanlah ingatan kepada pemutus kenikmatan”, yakni
mati.
(Hadits riwayat At-Tirmizi)
Faedah Mengingat Mati
Bila kita sebut mengingati mati, “mengingati” itu di dalam
bahasa Arab disebut sebagai az-zikr dan perkataan ini biasa dipakai di
dalam bahasa Melayu yang disebut dengan “zikir”. Dalam konteks ini, zikir boleh
saja dilakukan melalui lidah, melalui hati dan amal perbuatan. Begitu juga
dengan mengingati mati ianya boleh saja dilakukan dengan melalui lidah,
misalnya dengan membaca ayat-ayat Al-Qur’an atau hadits-hadits Nabi Shallallahu
'alaihi wasallam yang menceritakan tentang mati. Selain faedah membaca
Al-Qur’an itu untuk mengingat mati ianya juga berguna sebagai bekalan
persediaan menghadapi kematian, umpamanya membaca surah Al-Mulk di mana surah
ini mempunyai kelebihan yang hebat. Sebagaimana tersebut di dalam hadits bahawa
surah Al-Mulk itu disifatkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
sebagai penyelamat dan pendinding pembacanya daripada azab kubur.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas Radhiallahu ‘anhuma
beliau menceritakan bahawa seseorang daripada sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi
wasallam mendirikan khemah di atas kubur, dengan tidak menyangka bahawa tapak
kawasan itu adalah kubur. Lalu dia terdengar ada orang membaca surah (surah
Al-Mulk) di dalam kubur sehingga akhir surah tersebut. Kemudian dia pun pergi
berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam dengan memberitahu apa yang telah
didengarnya:
“Wahai Rasulullah, saya telah mendirikan khemah di atas tapak
perkuburan, dan saya tidak menyangka bahawa tempat itu adalah kubur, lalu saya
terdengar ada orang membaca surah (surah Al-Mulk) di dalam kubur sehingga akhir
surah tersebut.”
Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang
maksudnya :
“Dialah penghalang, dialah penyelamat yang
menyelamatkannya dari seksa kubur.” (Hadits riwayat At-Tirmizi)
Ataupun mengingat mati itu melalui hati, misalnya dengan
membayangkan di hadapan matanya keadaan ketika dia dikafankan, disembahyangkan
dan dikebumikan. Ataupun dengan amal perbuatan, misalnya dengan menziarahi
kubur, turut serta menguruskan jenazah, menziarahi orang yang sedang sakit
terutama orang yang dalam keadaan nazak.
Perkara seperti ini boleh saja mencuit kalbu dan membibitkan
dalam diri sanubari seseorang suatu perasaan keinsafan bahawa hidup ini tidak
kekal, hidup ini tidak selamanya dalam keadaan sehat, di mana saat kematian
tetap akan kunjung tiba pada bila-bila masa. Dan semua ini sebenarnya secara
tidak langsung akan membawa seseorang itu akan sentiasa ingat kepada Yang Maha
Berkuasa Menghidup dan Mematikan setiap makhluk; Allah Azza wa Jalla. Apabila
seseorang itu sentiasa ingat kepada Allah maka Allah akan sentiasa membalasnya
dengan kebaikan. Firman Allah Ta’ala yang tafsirnya :
“Oleh itu, ingatlah kamu kepada Aku (dengan mematuhi
hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 152)
Selain itu, seseorang yang sentiasa ingat kepada kematian
akan mencetuskan dorongan dan gesaan yang menggerakkan dirinya agar sentiasa
waspada dan mempastikan dirinya sentiasa berada di dalam sempadan-sempadan yang
ditentukan oleh Allah subhanahu wa ta'ala tanpa melewatinya walau sejengkal,
iaitu dengan menjunjung perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.
No comments:
Post a Comment